As for me, I know what my major problems in life..and sometimes, I did argued why this matter looks so simple and easy for others but so hard on me? I did feel helpless.But I always remember to accept it with an open heart...
I hope this article can help others out there who feel helpless over things that happens in their life..
Never give up your faith and never ever stop reciting dua..
Question;
Saya menghadapi masalah sehingga rasa tertekan. Saya tak pernah jemu berdoa pada Allah agar dipermudahkan segala urusan. Akhir-akhir ini, perasaan kecewa mula terbit dalam hati. Saya rasa TUHAN tidak makbulkan segala doa yang dipohon sebelum ini dan tak pedulikan saya. Ustaz, saya tak suka perasaan ini. Bantu saya ustaz
Answer;
Ingatlah kita ini hanya insan biasa. Allah SWT berhak untuk menguji kita pada bila-bila masa dengan apa jua bentuk ujian sekalipun.
Apa pun yang berlaku, perkara penting kita perlu ingat ialah jangan berputus asa mengharap pertolongan-Nya tanpa mengira masa. Allah tidak lupakan kita. Sebenarnya inilah caranya ALLAH mahu mengingatkan kita yang sentiasa lupa padaNya.
Saban hari umat islam di seluruh pelosok dunia memanjatkan doa kepada Allah dengan harapan agar segala permohonan mereka diperkenankan-Nya. Namun tidak semua doa itu termakbul. Lantaran itu, ada sesetengah pihak mula tertanya-tanya mengapakah doanya tidak berhasil.
Firman Allah SWT yang bermaksud" Berdoalah kamu kepadaKU nescaya Aku memperkenankan doa permohonan kamu" (Surah Al-Ghaafir:60)
Disebabkan perasaan kecewa kerana beranggapan bahawa permohonannya itu seakan tidak dimakbulkan, maka timbullah perasaan putus asa. Lalu, ada yang terus meninggalkan amalan berdoa. Padahal berdoa ini sebenarnya satu daripada ibadat yang dimuliakan oleh Allah SWT.
Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud" Tidak ada sesuatu yang lebih mulia disisi Allah berbanding doa"(Riwayat At-Tirmidzi)
Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Adil dan Dia sentiasa mengotakan janji-Nya. Namun, kita kadangkala gagal untuk memahami setiap hikmah di sebalik segala keputusan Allah.
Ganjaran pahala
Kita merasakan apa jua yang dipinta itu adalah yang terbaik untuk diri kita, padahal Allah lebih mengetahui segala-galanya. Ada ketikanya, apabila Allah tidak memperkenankan sesuatu permintaan kita, ini kerana DIA ingin memberi sesuatu yang lebih baik daripada yang dipinta.
Rasullullah SAW bersabda"Tidaklah seorang Muslim berdoa kepada Allah dengan satu doa yang tidak berisi dosa dan permintaan untuk memutuskan silaturrahhim melainkan Allah akan mengurniakan kepadanya satu daripada tiga perkara: Allah akan segera memakbulkan doanya atau Allah akan menyimpan doanya sebagai pahala di akhirat atau Allah akan menghindarkan dirinya daripada keburukan semisalnya."
Mereka berkata "Kalau begitu, kami harus memperbanyakkan berdoa"
Rasullullah bersabda: "Apa yang Allah kurniakan kepada kamu lebih banyak daripada apa yang kamu minta"
Begitulah resam manusia selalu lupa kurniaan Allah. Hakikatnya, ia jauh lebih banyak jika dibandingkan dengan permintaan yang dianggap tidak dimakbulkan itu. Menerusi hadis tersebut, dapatlah difahami ada waktunya Allah menggantikan apa yang dipinta itu dengan menghindarkan diri kita daripada ditimpa kemalangan ataupun apa jua bentuk musibah.
Ada ketikanya Allah menangguhkan sesuatu permintaan, lalu ganjaran pahala di akhirat diberi sebagai gantian yang tentu sekali akan memberi lebih manfaat kepada kita.
Manusia tetap manusia yang masih terbelenggu dengan pelbagai kelemahan. Takkala merasakan Allah seperti tidak memperkenankan doa kita, mengapa kita tidak terlebih dahulu melihat kekurangan yang ada pada diri sendiri?
Bagaimana mungkin Allah ingin menjawab permintaan tersebut jika kita sering bergelumang dengan maksiat serta meninggalkan segala kewajipan yang telah diperintahkan oleh Dia dan Rasul-Nya?
Rasullullah SAW bersabda"Demi Allah yang jiwaku berada di tanganNya. Kau harus mengerjakan segala yang baik (makruf) dan meninggalkan segala yang keji (mungkar). Jika tidak, Allah pasti akan menurunkan seksa ke atas kamu, nanti bila kamu berdoa tidak akan dimakbulkan" (Riwayat At-Tirmidzi)
Tidak dapat dinafikan kelalaian dalam mentaati perintah Allah dan tewas dengan dengan godaan hawa nafsu merupakan penyebab utama terhalangnya kurniaan kebaikan (seperti mudahnya termakbulnya doa) daripada-Nya kepada kita.
Firman Allah SWT yang bermaksud "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri"
"Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan bencana kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya" (Surah Al-Ra'du:11)
Tatatertib berdoa
Mana mungkin Allah akan memperkenankan sesuatu permohonan jika kita tidak mempedulikan perkara halal dan haram dari segi sumber rezeki, pemakanan serta pemakaian dalam kehidupan seharian.
Allah berfirman yang bermaksud "Wahai rasul-rasul! Makanlah daripada benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal soleh; Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan" (Surah al-Mukminun: 51)
"Wahai orang yang beriman! Makanlah daripada benda yang baik (halal) yang telah kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar kamu hanya beribadat kepada-Nya" (Surah Al-Baqarah : 172)
Rasulullah SAW menyebutkan seseorang yang sedang dalam perjalanan yang jauh, rambutnya kusut dan berdebu. Dia berdoa sambil menadah menadah tangannya ke langit lalu berkata: "Ya Rabbi, ya Rabbi!", sementara makanannya haram, lalu bagaimana mungkin doanya dimakbulkan? (Riwayat Imam Muslim)
Sikap terburu-buru dalam meminta sesuatu agar ia dimakbulkan segera sehingga wujud perasaan putus asa jika permintaan tersebut tidak tercapai adalah antara faktor yang menyebabkan terhalangnya doa itu diterima Allah.
Rasulullah SAW bersabda: "Akan dimakbulkan doa seorang daripada kamu selagi dia tidak terburu-buru lalu dia mengatakan: Aku sudah berdoa, namun tidak dimakbulkan bagiku" (Riwayat Imam al-Bukhari)
Sewajarnya kita tidak putus harapan dalam berdoa dan tetap untuk memperbanyakkan amalan tersebut. Keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doa kita juga merupakan faktor yang dapat mempermudah termakbulnya doa.
Jika doa itu diyakini sebagai ibadat, maka hendaklah kita menghadapkannya dengan ikhlas hanya kepada Allah tanpa sebarang perantaraan yang menyanggah syarak.
Tatacara berdoa itu juga hendaklah bersesuaian dengan Sunnah Rasulullah SAW agar ia diterima Allah SWT. Doa itu hendaklah dibaca dengan penuh perasaan rendah diri di hadapan Allah dan diiringi suara yang perlahan.
Allah SWT berfirman: " Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas" (Surah Al-A'raaf : 55)
Oleh itu, hendaklah kita melazimkan diri dengan ibadat berdoa. Pada masa yang sama juga, kita hendaklah berusaha memperbaiki kekurangan diri dalam mentaati segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya agar ia dapat memudahkan termakbulnya doa. Wallahhualam.
Petikan buku Manisnya Iman, penulisan Mohd Yaakub Mohd Yunus, terbitan Karya Bestari.
No comments:
Post a Comment